suria

Royalti Minyak: Muhyiddin Hairan Tindakan Ku Li

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan dengan tindakan serta kenyataan yang dibuat oleh Tengku Razaleigh Hamzah berhubung keputusan kerajaan Persekutuan mengenai isu royalti minyak Kelantan sedangkan pelbagai penjelasan sudah diberikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan dan kenyataan Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu bercanggah dan tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan Persekutuan.

"(Tindakannya itu) seolah-olah macam beliau seorang saja yang memperjuangkan hak rakyat Kelantan... (seolah-olah) kita ini tiada langsung pertimbangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Transformasi Politeknik di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu, yang terus mempersoalkan langkah kerajaan Persekutuan berhubung isu royalti minyak Kelantan.

Terbaru, Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan Persekutuan menerusi akhbar-akhbar bahasa Malaysia baru-baru ini menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain