suria

Razaleigh Akui Masih Setia Dengan Perjuangan Umno

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengakui dirinya masih setia kepada perjuangan Umno walaupun terus menyuarakan hak Kelantan dalam tuntutan royalti minyak.

Beliau menolak dakwaan pelbagai pihak yang menyatakan beliau tidak setia kepada perjuangan Umno berikutan tindakannya memperjuangkan hak Kelantan untuk mendapat bayaran royalti minyak.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang memberitahu pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan Umno bahagian itu di Bukit Chekati dekat sini bahawa beliau masih setia kepada perjuangan parti itu.

Pada 28 Januari lepas, Tengku Razaleigh turut berceramah di program solat hajat dan ceramah perdana Isu Royalti Minyak Kelantan anjuran badan bukan kerajaan di Stadium Sultan Mohammed IV yang turut dihadiri oleh pemimpin PAS.

Beliau dalam ceramah itu menegaskan bahawa Kelantan layak menerima wang royalti minyak sebanyak lima peratus, dan selepas itu terus mempertahankan pandangannya itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain