MTUC Mahu Majikan Tidak Tindas Ahli Kesatuan Sekerja Yang Lantang Bersuara - Semasa | mStar

MTUC Mahu Majikan Tidak Tindas Ahli Kesatuan Sekerja Yang Lantang Bersuara

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini meminta majikan agar tidak menindas pemimpin kesatuan sekerja yang lantang bersuara mempertahankan hak-hak ahli mereka.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata menyingkirkan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja secara terang-terangan, kemudian berusaha untuk menghalang mereka daripada mewakili ahli-ahli kesatuan, adalah satu penganiayaan bagi standard asas perilaku dalam masyarakat madani.

"Kerajaan boleh memainkan peranan penting bagi mencegah penyalahgunaan tersebut dengan mengguna pakai konvensyen 87 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan Hak untuk Mengelola," katanya di sini semalam.

Katanya satu seminar baru-baru ini dianjurkan bersama oleh ILO dan MTUC, mendapati bahawa konvensyen itu yang mula dicadangkan pada 1948 dan telah diguna pakai oleh lebih 90 negara, masih belum diratifikasikan di Malaysia walaupun selepas 53 tahun merdeka.

ILO dan komuniti antarabangsa berharap semua negara di dunia akan meratifikasi konvensyen ini pada 2015 bagi merealisasikan sebahagian matlamat 'Sasaran Pembangunan Milenium' Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Syed Shahir berkata selama bertahun-tahun, pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959 memberi banyak kuasa budi bicara kepada Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja yang banyak membuat kesilapan dalam mentafsirkan peruntukan undang-undang terhadap kegiatan kesatuan sekerja.

"Salah faham itu menjejaskan pembangunan sihat hubungan kerajaan-pekerja-majikan dan keharmonian perindustrian negara," katanya.

Syed Shahir juga berharap kerajaan akan bekerjasama dengan ILO dan dapat membentangkan undang-undang nasional untuk kebaikan pekerja-pekerja dalam negara ini.

Pada konvensyen ILO lain yang berkaitan dengan hak untuk berorganisasi dan berunding bersama, beliau berkata walaupun kerajaan telah meratifikasikan konvensyen itu, ia masih belum diselaraskan dengan undang-undang negara dan prosedur pentadbiran untuk mencerminkan semangat sebenar konvensyen.

Sebagai contoh, di bawah konvensyen itu, tempoh pengiktirafan kesatuan sekerja untuk mewakili para pekerja di pelbagai industri harus diselesaikan dalam masa 90 hari, tetapi ini tidak diikuti, katanya.

"Kadang-kadang ia mengambil masa bertahun-tahun untuk pengiktirafan sedemikian dan sementara itu majikan pula akan menggunakan pelbagai kaedah yang meragukan untuk memecat para pemimpin dan ahli aktivis, menyebabkan ia tergendala dan dalam beberapa kes, proses itu dibatalkan."

Katanya MTUC mahu kerajaan mempercepatkan penyelesaian mengenai pertikaian perjanjian kolektif dan membentangkan undang-undang baru untuk memastikan para pekerja yang diberhentikan secara tidak adil, dibenar untuk bekerja semula dan dibayar pampasan sepenuhnya.

MTUC juga berharap agar kerajaan dapat mendakwa majikan yang melanggar peruntukan dalam Akta Perhubungan Perusahaan kerana tindakan sewenang-wenang memecat pemimpin kesatuan sekerja dan memberi perlindungan sepenuhnya kepada mangsa, kata Syed Shahir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Mingguan mStar Dilancarkan Secara Rasmi

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain

Signal dijangka pesaing utama WhatsApp