suria

Lelaki Rentung Kereta Yang Dipandunya Terbakar

IPOH: Seorang lelaki yang memandu sendirian rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar di Km 19 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat Pos Slim di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata mangsa yang hanya dikenali sebagai Balwinder Singh, 48, ditemui terbaring di luar keretanya dipercayai cuba menyelamatkan diri kira-kira jam 7.45 pagi tadi.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Azisman berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke sini apabila kereta jenis Mercedez Benz yang dipandu sendiri tiba-tiba terbakar.

Ketika kejadian mangsa dipercayai terperangkap dalam kereta yang turut musnah dalam kebakaran itu.

Tiada sebarang pengenalan diri ditemui di tempat kejadian dan polis sedang mengesan waris mangsa.

Siasatan awal polis mendapati kejadian itu tiada unsur jenayah kerana tiada kecederaan pada badan mangsa.

Polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Simpang Pulai dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam untuk memadamkan kebakaran itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain