suria

Jenazah Mohd Shah Selamat Tiba Di Kampung Halamannya

Mangsa Mohd Shah Seamin, 43, (dua dari kiri) ketika bersama keluarganya di rumah mereka di Ayer Molek. - Foto oleh A MALEX YAHYA
Mangsa Mohd Shah Seamin, 43, (dua dari kiri) ketika bersama keluarganya di rumah mereka di Ayer Molek. - Foto oleh A MALEX YAHYA
Mangsa Mohd Shah Seamin, 43, (dua dari kiri) ketika bersama keluarganya di rumah mereka di Ayer Molek. - Foto oleh A MALEX YAHYA

MELAKA: Jenazah pemandu di Pejabat Konsul Malaysia di Sydney, Australia, Mohd Shah Saemin yang mati dipercayai akibat ditikam dan dibelasah dengan tukul di negara itu, selamat tiba di tanah air, malam semalam.

Menurut bapa saudara Allahyarham, Jailani Mongin, 48, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA)di Sepang dari Sydney, Australia kira-kira pukul 8.50 malam.

Beliau berkata menyambut dan mengiringi jenazah dari KLIA ke kampung ialah bapa dan ibu Allahyarham, Saemin Mongin, 70, Misnah Kasri, 60, dan tiga adik beradik arwah.

Jenazah Allahyarham dijangka tiba di kampung kelahiran di Kampung Tambak Paya, Ayer Molek di sini kira-kira 2 pagi, katanya kepada Bernama di sini.

Jailani berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak Paya di sini, sebelum solat Jumaat.

Jenazah akan ditempatkan sementara di rumah bapanya, sebelum dikebumikan.

Mohd Shah dikatakan diserang dengan tukul besi dan ditikam oleh dua lelaki di luar unit kediamannya di Marion Street, Leichhardt, Sydney, Ahad lepas.

Berasal dari Melaka, Mohd Shah, 43, yang tinggal di Australia sejak beberapa tahun lepas, kini menjadi warga Australia dan bekerja sebagai pemandu di pejabat Konsul Malaysia di Sydney.

Bagaimanapun punca kematian sebenarnya masih menjadi misteri kepada pihak berkuasa Australia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain