suria

Budak Perempuan Tiga Tahun Mati Dipercayai Didera Teman Lelaki Ibu

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Affandi Yahya berkata mangsa, Syafia Humairah Sahari, sebelum itu dibawa oleh teman lelaki ibunya itu ke Hospital Kuala Kubu Baharu dengan mendakwa kanak-kanak malang itu mati kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Beliau berkata lelaki yang berusia 28 tahun itu datang bersama seorang rakan lelaki dan kemudiannya meninggalkan kanak-kanak yang sudah tidak bernyawa itu di wad kecemasan kira-kira pukul 8.30 malam.

"Ketika jururawat hendak bertanya lebih lanjut mengenai kemalangan itu, mereka kemudiannya melarikan diri dengan mendakwa perlu bergegas ke balai polis untuk membuat laporan.

"Kira-kira pukul 11 malam, pihak hospital menghubungi kita dan hasil semakan, tiada sebarang laporan diterima mengenai kemalangan jalan raya dan hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa mendapati mangsa dipercayai mati akibat didera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Norel Azmi berkata hasil pemeriksaan awal pihak hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan di tubuh badan selain luka-luka di dagu, lebam di perut serta bawah telinga dan dipercayai mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau berkata polis kemudiannya menahan teman lelaki ibu mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi kira-kira pukul 3 pagi tadi bagi membantu siasatan.

Ibu mangsa dan teman lelakinya itu difahamkan mempunyai hubungan sejak enam tahun lalu dan mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan hasil perhubungan mereka.

Ibu mangsa, yang merupakan ibu tunggal dan berusia 25 tahun itu juga mempunyai seorang lagi anak hasil perkahwinannya, kini dirawat di Hospital Kuala Kubu Baharu selepas dilaporkan pengsan akibat terkejut dengan berita kematian anaknya.

Sementara itu bapa kepada suspek tersebut ketika ditemui di rumah flat kos rendah di Batu 30 enggan mengulas lanjut dan katanya beliau akan memberi keterangannya kepada pihak polis apabila diperlukan.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, sebelum kejadian, suspek telah keluar untuk bermain bola di padang bola berdekatan dengan membawa mangsa bersama.

Ketika suspek sedang bermain bola, kanak-kanak itu tiba-tiba menangis sebelum suspek datang ke arahnya dan menyerang kanak-kanak itu.

Saksi yang turut berada di padang tersebut ketika itu berkata orang ramai kemudiannya meleraikan sebelum mengangkat kanak-kanak tersebut yang sudah lembik ke dalam teksi milik suspek dan membawanya ke hospital.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis daerah Hulu Selangor DSP Bakhtiar Md Rashid berkata polis akan mengambil keterangan ibu mangsa yang kini sudah sedar. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain