suria

Polis Tahan Tiga Lelaki Kurung Mangsa

MUAR: Polis menahan tiga lelaki berusia 26 hingga 29 tahun kerana disyaki melarikan seorang pemuda berusia 22 tahun yang menjadi penjamin jirannya yang berhutang RM2,000 dengan ceti haram (Ah Long) dalam satu kejadian di Taman Sri Bakri pagi tadi.

Polis turut menemui sebuah kereta Proton Saga yang digunakan oleh ketiga-tiga lelaki tersebut untuk melarikan pemuda berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan dalam dua serbuan berasingan pagi dan tengah hari ini.

Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Bakariah dekat bandar ini pada 11.30 pagi tadi, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dan merampas beberapa telefon bimbit bersama sejumlah kad sim daripadanya.

Hasil dari maklumat yang diperolehi katanya, polis kemudian menyerbu sebuah hotel dan menahan dua lelaki lain, masing-masing berusia 26 dan 29 tahun kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

"Polis turut merampas sejumlah dadah, 12 buah telefon bimbit, sejumlah cakera padat lucah dan sejumlah kad sim. Kita sedang menyiasat kad sim itu dan aktiviti lelaki ini yang menggunakan begitu banyak kad sim," katanya.

Mohamad Nasir berkata, polis sebelum itu telah menerima aduan daripada seorang lelaki yang mengadu tiga orang lelaki telah melarikan seorang anak saudaranya berusia 22 tahun kira-kira pukul 1.30 pagi.

Menurut beliau, ketiga-tiga lelaki itu dikatakan telah membawa pemuda berkenaan ke Kuala Lumpur untuk mengesan jirannya yang berhutang sebanyak RM2,000 dengan Ah Long tetapi menghilangkan diri.

Bagaimanapun, pemuda tersebut kemudiannya dibebaskan di satu kawasan di Muar selepas dipukul oleh tiga lelaki terbabit.

"Kita siasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu cuba mengurung mangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain