suria

Hukuman Penjara Sepanjang Hayat Kekal

SHAH ALAM: Seorang lelaki hari ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi di sini bagi mengenepikan sabitan dan hukuman penjara sepanjang hayat dan sebatan enam kali ke atasnya mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad mengekalkan hukuman penjara dan sebatan terhadap tertuduh, Rosman Abd Rashid, 47, yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Zunaidah Mohd Idris pada 30 Mac 2007.

Zunaidah menjatuhkan hukuman itu selepas meminda pertuduhan terhadap Rosman dan mensabitkannya bersalah atas tuduhan menunjukkan pistol Auto Ruger P89, 9 milimiter kepada Siti Khadijah Hassan semasa cuba merompak kereta Kancil bernombor pendaftaran BFM 9514 milik mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kilang Kasut Bata Sdn Bhd, Batu 3 1/2, Jalan Kapar, Klang, kira-kira pukul 9.50 malam pada 8 Mac 2002 dan didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat dan sebatan.

Dalam penghakimannya, Asmabi berkata pertuduhan asal mengikut Seksyen 3, akta yang sama iaitu tertuduh telah melepaskan dua das tembakan ke arah Siti Khadijah, 33, bagi tujuan yang sama di tempat, masa dan tarikh yang sama, tidak seharusnya dipinda.

Ini kerana, beliau berkata semua intipati yang sewajarnya seperti Rosman tidak mempunyai lesen atau permit senjata api telah dibuktikan semasa perbicaraan.

"Tidak dipertikaikan perayu (Rosman) memiliki dan melepaskan tembakan. Juga tidak dinafikan bahawa ada dua anak mangsa dalam kereta. Tidak dipertikaikan perayu ada pergi ke dalam kereta tetapi berjaya dihalang oleh orang awam.

"Perayu dalam soal balas juga mengakui merampas kereta itu untuk melarikan diri," katanya.

Sehubungan itu, Asmabi berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh melampaui keraguan yang munasabah dan mengekalkan hukuman perayu.

Rosman diwakili peguam P.Visnuvarman sementara Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria hadir bagi pihak responden. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain