suria

Halimah Turut Jadi Pemandu Teksi Cekik Darah

KUALA TERENGGANU: Sikap segelintir pemandu teksi mengenakan kadar tambang yang tinggi di Kuala Lumpur ternyata tidak mengenal mangsa apabila Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Halimah Mohamed Sadique turut menjadi mangsa perbuatan itu.

Mendedahkan perkara itu, Halimah berkata beliau sendiri beberapa kali terkena dengan sikap pemandu teksi cekik darah selain enggan menggunakan meter ketika membawanya dari KLCC ke kawasan The Mall.

"Pemandu teksi itu memberitahu kalau nak naik saya perlu bayar RM20 dan enggan pakai meter. Apabila saya tanya kenapa tidak mahu pakai meter dia bagi alasan mengatakan akan menanggung kerugian jika berpatah balik semula ke KLCC tanpa penumpang.

"Katanya kenaikan 30 peratus tambang teksi yang dilakukan oleh kerajaan belum cukup untuk menampung kos mereka sedangkan sebelum kerajaan membuat kenaikan itu, pelbagai perkara telah diambil kira," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kelulusan (STK) Kereta Sewa Negeri Terengganu dan Majlis Interaksi Bersama Persatuan dan Pengusaha Kenderaan Perdagangan Wilayah Timur di sini hari ini.

Menceritakan lanjut tentang kejadian itu, Halimah berkata pemandu teksi itu juga tidak takut apabila beliau memberitahu untuk mengadukan hal kepada LPKP dan pihak berkuasa lain.

Ekoran itu, beliau mengambil nombor dan nama syarikat teksi berkenaan untuk dikenakan tindakan sewajarnya.

Halimah berkata sikap seperti pemandu teksi itulah yang mencemarkan imej pemandu teksi di negara ini walaupun hanya segelintir yang bersikap demikian.

"Mereka yang cekik darah dan nakal ini hanya dua tiga orang sahaja, tetapi mereka ini ibarat penyakit kayap yang boleh merosakkan kulit seluruh badan dan sehubungan itu kita minta semua penumpang supaya tahu hak-hak mereka dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika perkara demikian berlaku.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap pemandu teksi yang menjadikan kerja ini bukan sebagai profesyen tetapi sebagai sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja sehingga mencemar imej rakan-rakan mereka yang lain," katanya.

Sejak awal bulan ini sehingga 22 Feb lepas, kata beliau LPKP menerima 297 aduan menerusi talian hotline dan 1,271 aduan melalui kiriman SMS berkaitan pelbagai kesalahan kenderaan perdagangan.

Daripada jumlah itu 191 kes adalah dalam bidang kuasa LPKP dengan 100 kes melibatkan aduan berkaitan dengan perkhidmatan teksi seperti mengenakan caj yang mahal, tidak menggunakan meter serta gagal meletakkan kad pemandu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain