suria

Empat Lelaki Dipercayai Terbabit Kes Edar Dadah Antara 16 Ditahan

TELUK INTAN: Empat lelaki dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah adalah di antara 16 orang yang di tahan polis dalam satu operasi membanteras kegiatan penyalahgunan dadah di kawasan Ladang Southern Perak, Hutan Melintang di sini Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis daerah Hilir Perak Supt Muhammad Zaki Harun berkata, salah seorang daripada empat pengedar dadah yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan kerana memiliki 20 gram heroin yang di bungkus dalam 15 paket.

Tiga yang lain masing-masing berumur 37, 18 dan 20 tahun itu turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta yang sama kerana memiliki dadah jenis heroin.

Kesemua mereka di tahan ketika sedang asyik menagih dadah di satu kawasan di ladang kelapa sawit berkenaan sebelum di serbu pihak polis, katanya kepada pemberita hari ini.

"Apabila disiasat pihak kami berjaya menemui 15 paket plastik yang berisi serbuk yang dipercayai dadah jenis heroin di dalam beg pinggang salah seorang suspek berusia 31 tahun itu. Siasatan lanjut turut menemui tiga paket plastik di dalam poket tiga yang lain yang beratnya masing-masing 0.5 gram.

"Kesemua mereka ditahan reman dan dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan dan menjalani ujian air kencing," katanya.

Sementara itu dalam kejadian lain, satu rangka manusia ditemui sekumpulan nelayan dari Hutan Melintang yang sedang menangkap ikan di laut dekat Rungkup, Jumaat lalu.

Katanya rangka manusia yang masih berbaju T warna biru dan berseluar pendek warna hijau itu di temui nelayan berkenaan ketika sedang menarik pukat ke atas bot kira-kira jam 9 pagi, 19 Februari lalu.

Katanya pemilik bot kemudian membawa pulang rangka itu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Hutan Melintang. "Rangka itu sukar untuk dikenalpasti identitinya kerana tiada sebarang dokumen ditemui. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain