suria

Polis Tahan Lelaki Kudung Palsukan Pasport Indonesia

KUALA LUMPUR: Polis membongkar satu kegiatan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan kad pekerja warga Indonesia serta menahan seorang lelaki dalam serbuan di premis rumah kedai di Jalan Mewah 4, Ampang Mewah di sini malam tadi.

Dalam serbuan hasil maklumat orang ramai kira-kira pukul 10 malam itu, lelaki warga Indonesia yang kudung tangan kiri itu ditahan di sebuah rumah sewa di tingkat empat bangunan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata sindiket yang dipercayai terbesar di Lembah Klang itu telah beroperasi sejak setahun lepas dengan mengenakan caj yang murah.

"Hasil maklumat orang awam, kita menyerbu rumah berkenaan setelah membuat pantauan selama empat jam sebelum menahan lelaki berusia 40-an tersebut dalam rumah berkenaan.

"Siasatan awal terhadap lelaki itu mendapati sindiket tersebut mengenakan bayaran sebanyak RM150 bagi setiap pasport dan RM25 untuk satu kad pekerja palsu," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini malam tadi. Abdul Jalil berkata siasatan awal juga mendapati sindiket itu mengeluarkan kira-kira empat atau lima pasport setiap hari dan dianggarkan sebanyak 1,500 pasport termasuk kad pekerja berjaya dipalsukan dan diperbaharui oleh sindiket itu.

Katanya sindiket tersebut menggunakan peralatan canggih termasuk mesin pengimbas dan komputer serta alat lain bagi memastikan setiap pasport dan kad pekerja yang dihasilkan nampak asli dan dapat mengaburi mata pihak berkuasa.

"Pelanggan mereka yang terdiri daripada warga Indonesia datang ke rumah ini atau mereka sendiri akan berjumpa pelanggan bagi proses mengambil gambar dan menyiapkan dokumen palsu.

"Kita juga percaya suspek tidak bergerak seorang diri, melalui pemantauan suspek mempunyai kawan yang aktif bersama, kita akan buru saki baki anggota sindiket ini," katanya.

Beliau juga menyeru orang ramai yang mencurigai ketulenan pasport dan pas pekerja-pekerja mereka supaya terus datang ke Jabatan Imigresen bagi mengesahkan ketulenannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat atau memalsukan atau meminda sesuatu endorsmen atau dokumen untuk digunakan sebagai visa, permit, pas atau sijil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain