suria

Pemandu Teksi Dituduh Bunuh Mohd Shah

MELBOURNE: Seorang pemandu teksi kelahiran Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Burwood, Sydney, hari ini kerana dituduh membunuh rakyat Malaysia, Mohd Shah Saemin pada Ahad lepas.

Hazairin Iskandar, 55, dituduh membunuh Mohd Shah, 43, seorang pemandu di pejabat Konsul Malaysia, di luar rumah Mohd Shah di Lebuh Marion di Leichhardt di barat Sydney, demikian menurut laporan Australian Associated Press.

Mohd Shah yang berasal dari Melaka, ditikam dan dibelasah dengan tukul besi dan meninggal dunia di kaki lima. Kejadian dilaporkan berlaku di hadapan orang ramai.

Majistret Christopher Longley tidak membenarkan Iskandar diikat jamin dan menetapkan agar kes itu didengar di Mahkamah Tengah Sydney pada 20 April ini.

Menurut laporan, polis sedang mencari seorang lagi lelaki berhubung kes itu. Iskandar ditahan di rumahnya di Croydon semalam bersama seorang wanita yang kemudiannya dibebaskan.

Isteri Iskandar bekerja bersama dengan Mohd Shah, seorang duda yang telah menetap di Australia sejak 10 tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain