suria

Pelajar Maut Selepas Jatuh Motosikal Dinaiki Bersama Tiga Rakan

KOTA TINGGI: Akibat tidak mengendahkan peraturan jalan raya, seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas terjatuh daripada sebuah motosikal yang ditunggang bersama tiga rakan lain dalam satu kejadian di sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Osman Mohamed Sebot berkata Muhammad Amirul Asyraf Mohamed Fadzli, 15, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi dua jam selepas terjatuh daripada motosikal itu akibat kecederaan dalaman.

Tiga rakannya yang juga berusia 15 tahun iaitu Mohd Hazrul Shafiq Mohd Hanapiah, Muhammad Norfaiz Azli dan Amirul Nazmi Azman hanya mengalami cedera ringan, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata kejadian berlaku pukul 3 petang ketika keempat-empat pelajar itu menunggang motosikal tersebut di sekitar Taman Kota Jaya di sini.

Bagaimanapun motosikal yang ditunggang mereka hilang kawalan selepas terlanggar bonggol jalan menyebabkan keempat-empat mereka terjatuh, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil memberi maklumat di balai berdekatan atau menghubungi polis di talian 07-2212999.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain