suria

Lelaki Disyaki Pencuri Lemas Selepas Terjun Sungai

ALOR SETAR: Seorang lelaki ditemui lemas selepas dikatakan terjun ke dalam Sungai Kedah ketika dikejar orang ramai kerana disyaki cuba mencuri di sebuah stor di tapak pembinaan di Taman Seri Indah di sini.

Seorang saksi, Asri Jaafar, 37, berkata kekecohan berlaku di tapak pembinaan itu dan ketika menghampiri tempat itu beliau melihat pekerja di tapak pembinaan itu bergelut dengan seorang lelaki.

"Kejadian berlaku antara pukul 1.30 petang dan 2.30 petang. Ketika itu saya berada di kedai saya yang terletak berhadapan tapak pembinaan itu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau mendakwa lelaki itu berjaya melepaskan diri dan terjun ke dalam sungai, manakala seorang lagi lelaki melarikan diri ke arah jambatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja Mustafa Abdullah berkata mayat lelaki itu ditemui pada pukul 6.58 petang berhampiran tempat dia dilapor tenggelam.

"Tujuh anggota unit skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani bersama tujuh anggota bomba dan penyelamat dari Jalan Raja terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Star DSP Fiesal Libertus Abdullah berkata polis ada menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu tetapi sehingga petang ini, belum ada laporan dibuat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain