Exco Kedah Mungkin Dibarisi Muka Baru - Semasa | mStar

Exco Kedah Mungkin Dibarisi Muka Baru

ALOR SETAR: Beberapa anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah, mungkin digugurkan setelah dua tahun memegang jawatan berkenaan bagi memberi peluang kepada muka baru untuk menggalas tugas terbabit.

"Saya akan tengok kesesuaian untuk mencari yang terbaik, nak bagi orang lain pula cuba kemahiran masing-masing, tapi saya akan maklumkan kepada Tuanku Sultan terlebih dahulu," katanya Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata istiadat mengangkat sumpah memegang jawatan dijangka diadakan minggu depan dan akan turut melibatkan beberapa perubahan daripada segi portfolio setiap anggota exco.

Mengenai kuota pelantikan exco, Azizan berkata ia mungkin dikekalkan iaitu tujuh daripada Pas dan selebihnya daripada Parti Keadilan Rakyat.

Beliau juga berkata kerajaan Kedah akan membina dua pintu air untuk dijadikan tempat takungan air bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air setiap kali tiba musim kemarau.

Pintu air itu akan dibina di Sungai Jeniang dan Sungai Muda di Pinang Tunggal dekat sini, bagi memudahkan air disedut serta disalirkan ke empangan walaupun paras air sungai surut akibat kemarau.

"Sekarang ini, masalah timbul apabila paip tak sampai nak sedut air sebab air sungai surut, (tapi) bila ada tempat takungan, musim kemarau pun ada air," kata Azizan.

Beliau berkata kerajaan juga mengenai pasti kebocoran paip sebagai satu lagi punca berlaku kekurangan bekalan air.

"Jadi kena ganti semula semua paip ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Dr Mahathir Harap BN Timbang Keahlian Terus

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel