suria

Wanita Dilantik Berdasarkan Merit

PETALING JAYA: Peningkatan bilangan pegawai kanan wanita dalam perkhidmatan awam sekarang adalah berdasarkan keupayaan dan merit mereka berkhidmat dalam sektor itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, wanita yang menunjukkan kepimpinan, dedikasi, komitmen dan berkelayakan mesti diberi peluang serta kepercayaan untuk mempamerkan kewibawaan mereka menjalankan tugas.

Menurutnya, apa yang kerajaan mahu lihat sekarang ialah wujudnya suatu keseimbangan antara kehidupan dan alam pekerjaan bagi kaum berkenaan.

"Lagipun, pada realitinya hari ini, wanita mesti bekerja. Dan mereka juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui profesion mereka. Ekonomi negara pastinya terjejas kalau hari ini wanita tidak diberi peluang sewajarnya.

"Jangan lupa wanita dan lelaki memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi. Isunya bukan memilih siapa yang terbaik antara lelaki dan perempuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-50 majalah Her World di sini hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam yang meningkat ketara sekarang.

Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin berkata, trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Katanya, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diisi oleh wanita.

Mengulas lanjut Shahrizat berkata, sudah sampai masa generasi muda lelaki sedar bahawa mereka kena belajar, rajin dan berdisiplin.

"Jangan pula hendak menjadikan wanita sebagai mangsa kerana ada golongan lelaki yang tidak ingin mencari kecemerlangan. Jangan kerana mereka tak nak kerja bersungguh-sungguh, kemudian kata golongan wanita tak boleh. Mana boleh?" katanya.

Mengenai fitrah wanita mengambil cuti panjang selama berbulan-bulan selepas bersalin sehingga berkemungkinan mengakibatkan kepincangan sistem penyampaian kerajaan dalam jangka panjang, Shahrizat berkata: "Tidak, tak ada.. Saya nak maklumkan negara kita adalah antara negara yang memberi cuti bersalin paling minimum.

"Boleh saya kata 90 peratus daripada negara-negara yang saya ketahui memberikan cuti bersalin lebih daripada 60 hari."

Berhubung dakwaan Ahmad Shah bahawa penglibatan wanita telah mencecah 70 peratus dalam bidang tertentu seperti perguruan dan peningkatan itu turut berlaku dalam kumpulan sokongan, Shahrizat berkata, kerajaan tidak boleh memaksa golongan lelaki memasuki profesion perguruan jika mereka tidak berminat sementara wanita yang berkelayakan diketepikan.

Ini kerana katanya, ilmu dan kepakaran adalah mustahak pada zaman ini.

Beliau turut menegaskan polisi 30 peratus penglibatan wanita dalam sektor awam adalah bermaksud sekurang-kurangnya 30 peratus dan bukannya terhad kepada jumlah tersebut.

Artikel Berikut

Artikel Lain