suria

Pemandu Kereta Maut Rempuh Lori, Motosikal

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya merempuh sebuah lori dan motosikal yang turut mengakibatkan tiga lagi cedera dalam satu kemalangan yang berlaku di KM74 berhampiran Kampung Air Sejuk, Setiu petang tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Saik Othman Abdul Hamid berkata, mangsa yang maut ialah Tunku Hissamuddin Tunku Hider, 57, dari Alor Setar Kedah.

"Kemalangan berlaku kira-kira pukul 3.45 petang tadi ketika kenderaan Perodua Kelisa yang dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, Kelantan.

"Sampai di tempat kejadian kenderaan mangsa dipercayai telah terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebuah lori kecil dan merempuh pula sebuah motosikal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akibat perlanggaran tersebut, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dapat dikeluarkan oleh pihak bomba yang tiba di tempat kejadian sejurus dimaklumkan oleh orang awam.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Daerah Setiu untuk dibedah siasat.

Bagaimanapun katanya, pemandu lori yang dikenali sebagai Mat Saut Mat Harun, 33 , penumpang Hafsah Setapa, 22 dan penunggang motosikal Mohd Syameer Razali , 18 hanya mengalami cedera ringan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain