suria

MIC Bimbang Gejala Kahwin Muda

KANGAR: Gejala berkahwin pada usia muda adalah antara faktor yang menyumbang kepada masalah sosial pada kalangan masyarakat India, kata Naib Presiden MIC, Datuk Dr S. Subarmaniam hari ini.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, ini kerana kebanyakan mereka belum bersedia daripada segi mental mahupun material untuk mendirikan rumah tangga.

Antara masalah yang berpunca daripada berkahwin pada usia muda ialah kemiskinan yang seterusnya membawa kepada penceraian, kata beliau berucap pada majlis penyampaian mesin jahit kepada pelatih kursus jahitan kaum India, anjuran kementeriannya, MIC pusat dan MIC Perlis, di sini.

Selain itu katanya, ada di antara pasangan muda tersebut terlibat dengan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah untuk menyara kehidupan mereka.

Justeru katanya, golongan muda harus melengkapi diri mereka dengan kemahiran agar berupaya menyara keluarga selain bersedia daripada segi mental sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Dalam ucapannya itu, Dr Subramaniam turut meluahkan kebimbangan berkenaan penempatan semula penjenayah yang dikenakan hukuman 'buang daerah' memandangkan terdapat aduan menyatakan golongan itu mencetuskan masalah di kawasan baru mereka.

"Golongan itu juga dikatakan mempengaruhi pihak lain untuk terlibat dengan kegiatan jenayah di kawasan baru tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain