suria

Lelaki Hilang, Dipercayai Lemas Ketika Menjala Ikan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Indonesia dilapor hilang, dipercayai lemas ketika menjala ikan bersama rakannya di sebuah lombong tinggal berhampiran Kampung Bohor, Bukit Jalil di sini petang semalam.

Fathor Rahman, 31, yang bekerja sebagai buruh binaan itu dipercayai lemas semasa menjala ikan bersama rakannya yang berusia 31 tahun ketika hujan lebat kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Osman berkata polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa kira-kira pukul 12.30 malam tadi daripada abang ipar lelaki itu.

"Mangsa yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Rakyat di sini dipercayai sering datang ke sini untuk menjala ikan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Penolong Penguasa Balai Bomba Bukit Jalil Abdul Rahman Abu Hassan berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan 11 anggota unit skuba Bomba serta 11 anggota unit skuba Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Operasi dimulakan sejak pukul 7 petang semalam hingga pukul 3 pagi tadi dan disambung semula pukul 8 pagi ini," katanya ketika ditemui di sini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain