suria

Kapal Selam Pertama Berjaya Jalani Ujian, Pulih Sepenuhnya

PETALING JAYA: Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman berjaya menjalani ujian perairan di Laut China Selatan semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu pasukan teknikal turut mengikuti ujian berkenaan bagi memantau hasilnya.

"Operasi menyelam berjaya diselesaikan pada pukul 4 petang, semuanya disahkan berada dalam keadaan baik dan pulih sepenuhnya," katanya melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam.

Ujian berkenaan dikendalikan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpengkalan di Teluk Sepanggar, Sabah.

Kerosakan pada KD Tunku Abdul Rahman didedahkan oleh Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar baru-baru ini apabila memberitahu sistem saluran air bertekanan tinggi menyebabkan aset strategik itu tidak boleh menyelam kerana dikhuatiri membahayakan.

Kerosakan tersebut adalah kerosakan mekanikal kedua selepas kapal yang sama pernah mengalami masalah di bahagian sistem penyejuk air laut tetapi telah dibaiki pada 17 Disember lalu.

Minggu lalu, Ahmad Zahid mengumumkan KD Tunku Abdul Rahman sudah pulih sepenuhnya dan sedia untuk beroperasi seperti biasa.

Negara membeli dua buah kapal selam Scorpene buatan Perancis dengan kerjasama Sepanyol yang dinamakan sebagai KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

Scorpene yang diperoleh negara merupakan kapal selam tempur berenjin diesel antara paling canggih di dunia pada masa kini.

Selain dilengkapi sehingga 18 torpedo, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak juga boleh melancarkan peluru berpandu anti-kapal permukaan Exocet SM-39.

Artikel Berikut

Artikel Lain