suria

Sindiket Dadah Tumpas, Enam Warga Tempatan Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya enam rakyat tempatan termasuk dua wanita dalam satu serbuan di sebuah unit kondominium di Sentul Utama, Jalan Dato Senu di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, bertindak atas maklumat orang awam, kesemua suspek yang berumur lingkungan 18 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 10.15 malam.

"Polis telah merampas lapan paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat dua gram, dua paket plastik lutsinar berisi ketamin (76 gram), 20 paket plastik berisi heroin (25 gram) dan 56 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dengan anggaran berat 30,743 gram," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Kesemua dadah itu ditemui disimpan dalam sebuah beg pakaian dalam sebuah bilik di kondominium berkenaan.

Katanya, jumlah keseluruhan nilai dadah yang dirampas sedang disiasat.

Muhammad Sabtu berkata, polis turut merampas wang tunai bernilai RM30,920 serta sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama.

"Dua daripada suspek lelaki yang diberkas itu adalah pasangan adik-beradik dan seorang daripada mereka merupakan penyewa kondominium terbabit.

"Polis tidak menolak kemungkinan kondominium itu digunakan untuk menyimpan dadah-dadah ini sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang," kata Muhammad Sabtu.

Beliau berkata, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca bekalan dadah itu diperoleh.

"Ada antara mereka yang pernah menjadi jurujual, peniaga ayam, tukang paip dan promoter. Seorang daripada suspek lelaki itu juga mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk berkaitan kes dadah," katanya.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari berakhir Rabu ini dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain