suria

Operator Bengkel Dihukum Gantung Edar Pil Ecstasy

SHAH ALAM: Seorang operator bengkel kenderaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar pil ecstasy seberat 2,719 gram di tempat letak kereta hadapan sebuah kedai makanan segera di Puchong, Selangor dua tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pembelaan tertuduh, Tio Tek Huat, 42, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah tuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, saya putuskan untuk jatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh," katanya.

Tertuduh yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tenang mendengar keputusan mahkamah itu.

Mohtarudin berkata, alasan pembelaan yang menyatakan bahawa pil ecstasy itu telah diletakkan oleh polis dalam kereta untuk menganiaya anak guamnya tidak disokong oleh laporan polis ataupun aduan kepada pegawai penyiasat.

Tio didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta hadapan McDonalds, Jaya Jusco, IOI Mall Puchong, Petaling, Selangor, kira-kira pukul 6.30 petang pada 6 Feb 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Samihah Rhazali manakala tertuduh diwakili peguam M. Visvanathan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain