suria

Mustapa Sedih Dituduh Derhaka, Pengkhianat Kepada Rakyat Kelantan

KOTA BAHARU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini meluahkan rasa sedih apabila dianggap mengkhianati rakyat Kelantan kerana tidak memihak kepada kerajaan negeri yang diteraju PAS dalam menuntut royalti minyak.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata beliau telah melakukan yang terdaya mengikut keupayaannya sebagai anggota kerajaan persekutuan sejak 1996 dalam memperjuangkan nasib rakyat Kelantan meskipun mereka ditadbir oleh PAS.

"Sebagai anak jati Kelantan, saya sanggup meluluskan peruntukan berpuluh juta ringgit bagi membiayai projek-projek pembangunan untuk kepentingan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan warga jabatan-jabatan persekutuan di sini.

Beliau memberi contoh antara projek pembangunan yang pernah diluluskannya ialah pembangunan Medan Tuan Padang bernilai RM1 juta, Pasar Siti Khadijah (RM3.3juta) dan Medan Usahawan Perbadanan Stadium Kelantan bernilai RM5 juta.

"Saya amat sedih dan dukacita jika dalam begini saya masih dikatakan sebagai rakyat yang derhaka dan mengkhianati rakyat Kelantan kerana semata-mata tidak menyokong kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak yang diperjuangkan kerajaan negeri ini," kata Anggota Parlimen Jeli itu.

Mengenai isu royalti itu, Mustapa berkata beliau telah membantu rakyat Kelantan mendapat wang ihsan yang bakal diagih pada Mac ini.

"Soal tuntutan kerajaan negeri untuk mendapatkan wang royalti itu tidak berbangkit lagi, yang pastinya rakyat akan mendapat faedah melalui wang ihsan, cuma kaedahnya berbeza," katanya.

Mustapa diminta mengulas mengenai ceramah-ceramah yang diadakan penyokong PAS yang antara lain menyifatkan beliau sebagai pengkhianat dan menderhaka kepada rakyat Kelantan berhubung isu royalti minyak tersebut.

Mustapa menegaskan kerajaan persekutuan juga tidak pernah menganak tirikan Kelantan dalam agihan peruntukan pembangunan sepanjang negeri itu ditadbir PAS sejak 20 tahun lepas.

Malah katanya peruntukan yang diberi kepada kerajaan negeri Kelantan adalah berkali ganda lebih banyak berbanding kutipan hasil yang diserah kepada kerajaan pusat.

Mengulas mengenai surat layang yang memburuk-burukkan veteran Umno dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah kerana menggunakan platform pembangkang untuk menyuarakan pandangan berhubung isu royalti minyak, Mustapa berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Saya tidak bersetuju kerana memang terdapat perbezaan pendapat antara pemimpin tetapi ia boleh dibincang dan diperdebatkan melalui fakta sebenar," katanya.

Terdahulu pada majlis itu Mustapa menyerahkan cek bernilai RM800,000 kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK), Datuk Kamaruddin Mat Zin bagi tujuan membayar elaun imam dan kakitangan masjid di negeri itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain