suria

MIC Dijangka Bantah Cadangan Keanggotaan Terus Ke Dalam BN

KUALA LUMPUR: MIC dijangka membantah cadangan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) untuk membenarkan keanggotaan secara terus kepada individu, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong dan mesra BN.

Ini kerana, parti itu yang mendabik dada mempunyai 630,000 anggota, akan hilang "monopoli" dalam Dewan Tertinggi BN khususnya berkaitan hal ehwal kaum India sekiranya parti politik kaum India lain dibenarkan masuk dalam BN, menurut beberapa tokoh politik.

"Cadangan ini, apabila dikuatkuasakan kelak, akan menjamin penyertaan lebih ramai kaum India dalam BN. Pada masa ini terdapat kuasa veto atau sistem konsensus yang mensyaratkan semua parti-parti komponen untuk mencapai persetujuan sebelum pemohon dibenarkan menganggotai BN.

"Apabila ini dimansuhkan, dengan itu lebih banyak parti politik kaum India akan menyertai BN. MIC pastinya akan hilang dominasi tetapi ini akan membawa kebaikan kepada kaum India kerana kepimpinan BN dapat mendengar secara terus masalah yang dihadapi kaum India daripada beberapa parti dan tidak daripada MIC sahaja," kata bekas Naib Presiden MIC Tan Sri M. Mahalingam.

Jumaat lepas, Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BN akan meminda perlembagaan parti untuk membolehkan individu, parti-parti politik dan NGO diterima masuk secara terus ke dalam BN.

Kira-kira 1.8 juta kaum India Malaysia kini berpecah kepada pelbagai kumpulan dan masyarakat itu mempunyai sekurang-kurangnya enam parti politik untuk dipilih.

Enam parti berkenaan ialah MIC, Parti Progresif Penduduk atau PPP (walaupun terbuka kepada pelbagai kaum, parti itu didominasi kaum India), Barisan Progresif India (IPF), Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), parti yang baru ditubuh Parti Makkal Sakti Malaysia dan Hindu Rights Action Front (Hindraf) yang dicadangkan.

Daripada parti-parti berkenaan, hanya MIC dan PPP menganggotai BN. Bukan lagi menjadi rahsia bahawa permohonan IPF untuk menyertai komponen parti pemerintah itu telah dibantah oleh MIC.

Sekiranya cadangan terbaru itu menjadi realiti, pemerhati politik menjangkakan IPF, MIUP dan Makkal Sakthi, yang menyokong dan mesra BN, akan memohon untuk menyertai gabungan itu.

Sementara kemasukan semua parti itu akan menamatkan dominasi MIC dalam BN, ia akan meningkatkan penyertaan kaum India dalam gabungan parti pemerintah itu, yang terdesak untuk memenangi hati dan minda masyarakat India yang sokongan mereka kini berpecah.

Pada pilihan raya umum lepas pada 2008, masyarakat itu meninggalkan BN yang sebelum itu mendapat sokongan mereka selama kira-kira 50 tahun, dengan memberikan undi kepada pembangkang.

Daripada sembilan kawasan Parlimen dan 19 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di bawah tiket BN, MIC hanya mampu memenangi tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN.

"Undi kaum India berpecah dan MIC secara sendirian tidak mampu menjalankan tugas untuk mendapatkan semula undi itu. Pucuk pimpinan BN sedar bahawa untuk gabungan itu berjaya, ia perlu mendapat sokongan semua kaum di negara ini.

"Apa yang MIC mahu ialah supaya pemimpin-pemimpin parti yang membuat keputusan...BN tidak boleh buat keputusan untuk semua," kata Mahalingam yang juga bekas timbalan menteri.

Penganalisis politik Datuk Dr Denison Jayasooria berpendapat langkah B Nuntuk menarik golongan yang mempunyai ideologi yang sama dan menyediakan wadah untuk mereka menyuarakan masalah mereka merupakan langkah yang baik.

"Bagaimanapun, BN perlu berhati-hati dalam melaksanakan pendekatan menerima kemasukan anggota. Ia sepatutnya membenarkan kemasukan mereka yang mempunyai impak terhadap pengundi, bermakna mereka yang telah dan akan membawa masuk undi.

"Memperbesarkan gabungan dengan membenarkan lebih banyak parti untuk menyertai bukan bermakna lebih banyak undi. Ia perlu memilih sekutu yang berkualiti dan menghapuskan parti-parti tidak tulen," kata bekas pengerusi Yayasan Strategik Sosial itu, kumpulan pemikir MIC.

Katanya BN sepatutnya hanya menerima masuk mereka yang mempunyai ideologi politik yang sama dan menggalakkan parti-parti lebih kecil atau serpihan untuk bergabung sebelum menyertai BN.

"Setakat ini, pada pandangan saya, parti-parti India ini mempunyai ideologi yang sama. Bagi parti-parti ini, lebih kepada konflik peribadi yang menghalang mereka daripada bergabung menjadi entiti lebih besar. Pastinya, cadangan ini sedikit sebanyak akan menerima bantahan daripada MIC.

"Perlu diingat bahawa dengan mempunyai banyak parti serpihan tidak semestinya akan meningkatkan keupayaan BN. Penggabungan parti-parti politik dan membuka keanggotaan BN mungkin pendekatan terbaik untuk parti pemerintah ini. Parti-parti masyarakat etnik yang kecil tidak membawa perbezaan besar dalam undi," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain