suria

MAIPP Belum Putuskan Pengerusi PUZ

PULAU PINANG: Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) masih belum membuat keputusan mengenai siapa yang akan meneraju Pusat Urus Zakat (PUZ).

Yang Dipertuanya Ellias Zakaria berkata, perkara itu masih pada peringkat perbincangan dengan beberapa pihak.

"Saya tidak pasti bila akan diputuskan siapa yang akan memegang jawatan Pengerusi PUZ," katanya kepada pemberita, di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut.

Sebelum ini kedengaran ura-ura Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman akan dilantik sebagai pengerusi badan itu yang secara tradisi disandang Yang Dipertua MAIPP.

Media kemudian melaporkan Badan Perhubungan Umno negeri membantah cadangan tersebut kerana dikatakan bertentangan dengan amalan urus tadbir.

Ditanya sama ada pengurusan PUZ akan terjejas berikutan masih belum ada pengerusi, Ellias menjelaskan sehingga hari ini badan itu beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang masalah timbul.

"Kita ada Pengurus Besar dan kakitangan PUZ yang menjalankan tugas seperti biasa," katanya.

PUZ yang ditubuhkan pada 1994 merupakan organisasi di bawah MAIPP dan dianggar memungut kutipan zakat sekitar RM50 juta setahun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain