suria

Lelaki Ditemui Mati Dalam Kereta

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati di dalam sebuah kereta Proton Iswara milik bapanya di belakang sebuah masjid di Jalan Cempaka 2, Bukit Sentosa, dekat Rawang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Norel Azmi Affandi Yahya, berkata mangsa, Nor Iman M Ibrahim, 20, yang beralamat di No. 43, Jalan Jejarum, Bukit Sentosa, ditemui mati pada kira-kira 7 malam tadi oleh orang awam.

"Mangsa tidak pulang ke rumah selepas menghantar adiknya mengikuti kelas tambahan pada kira-kira 10.30 malam semalam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Norel Azmi berkata ketika ditemui, mangsa dalam keadaan terduduk di tengah tempat duduk belakang kereta itu dan hasil siasatan forensik mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa.

Katanya, mangsa dipercayai mati lebih kurang 10 jam lepas dan disyaki mengalami serangan jantung dan pemeriksaan awal polis tidak mendapati adanya unsur jenayah dalam kes itu.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain