suria

Kastam Musnah Rokok Seludup Bernilai RM3.4 Juta

DENGKIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kuala Lumpur hari ini memusnahkan 43 tan rokok seludup yang bernilai RM3.4 juta.

Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Datuk Jalilah Mahdan berkata, rokok itu merupakan hasil rampasan sindiket cubaan menyeludup yang berjaya dipatahkan di Pelabuhan Klang pada 2008, melibatkan cukai kastam sebanyak RM12.3 juta.

"Pemusnahan 142,400 karton rokok ini dijalankan dengan kerjasama Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM)," katanya kepada pemberita di sini.

Jalilah berkata, bagi tempoh Januari hingga 12 Februari lalu, Kastam Kuala Lumpur berjaya merampas rokok putih dan rokok kretek bernilai RM3.9 juta yang melibatkan duti kastam berjumlah RM9.5 juta.

Beliau berkata, bagi tempoh sama sebanyak 28 kertas siasatan telah dibuka, yang melibatkan 16 kes rokok yang kebanyakannya diperoleh hasil operasi di premis-premis perniagaan yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

"Selain itu, Kastam Kuala Lumpur juga telah merampas pelbagai barangan termasuk minuman keras, mercun dan bunga api bernilai RM670,647.50 yang melibatkan cukai kastam sebanyak RM1.3 juta," katanya.

Jalilah turut meminta kerjasama orang ramai untuk membuat laporan sekiranya melihat atau mempunyai maklumat tentang aktiviti penyeludupan atau apa-apa aktiviti yang bercanggah dengan Akta Kastam 1967, dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau menghubungi mana-mana pejabat kastam berdekatan.

"Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan dan pemberian saguhati akan dipertimbangkan bagi setiap kes yang dijayakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain