suria

JKR Utamakan Projek Impak Segera Pada Rakyat

PANGKOR: Kementerian Kerja Raya tidak akan mengutamakan projek bersaiz besar di bawah Rancangan Malaysia ke-10 tetapi sebaliknya akan memberi tumpuan terhadap projek yang memberi impak segera kepada kesejahteraan rakyat.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, untuk itu pihaknya kini sedang meneliti dan memperhalusi semua permohonan di bawah RMK-10 oleh semua negeri yang bernilai RM70 bilion keseluruhannya.

"Kesemua projek (yang akan dijalankan di bawah RMK-10) itu adalah bergantung kepada sumber kewangan...kemungkinan kita akan menerima jumlah peruntukan yang sama atau kurang sedikit tetapi kita juga mempunyai mekanisme kewangan lain," katanya kepada pemberita selepas melawat jeti Kampung Sungai Pinang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua permohonan projek yang telah diperhalusi akan dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi sebelum Perdana Menteri dijangka membentang RMK-10 pada 10 Jun ini.

Mengenai pencapaian dalam melaksanakan RMK-9 beliau berkata, sehingga 31 Januari tahun ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menerima peruntukan berjumlah RM34.8 bilion dan daripada jumlah itu sebanyak RM33.4 bilion telah dibelanjakan bagi projek pembangunan persekutuan.

Katanya, sebanyak 5,941 projek dilaksanakan di bawah RMK-9 dan daripada jumlah itu sebanyak 3,636 projek telah disiapkan, 347 projek di peringkat pra-pembinaan dan 1,723 projek masih dalam pembinaan.

"Daripada jumlah projek dalam pembinaan terdapat 177 projek 'sakit' iaitu lewat melebihi dua bulan. Selain itu terdapat 135 projek lain yang telah dibatalkan dan ditangguhkan.

"Antara sebab projek dibatal dan ditangguhkan adalah kekurangan siling dan peruntukan, pengambilan balik tanah dan perubahan skop kerja," katanya.

Shaziman berkata, selain itu sebanyak 4,191 projek dengan kos RM378.8 juta disiapkan sepenuhnya pada 2009 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama manakala 283 daripada 653 projek bernilai RM2.1 bilion yang diperuntukan telah disiapkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.

Mengenai lawatan sehari beliau ke Perak hari ini, kementerian meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 juta bagi projek menggantikan pontun di jeti Kampung Sungai Pinang di sini yang telah uzur dan kekurangan kemudahan.

"Pembinaan ini akan memberi manfaat tinggi, menjadi keperluan demi keselesaan rakyat yang sering berulang-alik menaiki feri di sini. "JKR juga akan melihat semula reka bentuk pembinaan pontun itu supaya ia lebih praktikal untuk orang ramai dan dilengkapi dengan kemudahan seperti laluan khas motosikal," katanya.

Selain itu beliau berkata, projek menaiktaraf jalan persekutuan dari Damar Laut ke Changkat Jering yang melibatkan 70 kilometer dengan kos RM700 juta termasuk perolehan tanah, kerja awalan dan reka bentuk serta pembinaan turut diluluskan.

Jalan berkenaan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan aktiviti pelancongan serta pengangkutan hasil pertanian yang lebih efisyen dan lancar.

"Projek ini sepatutnya adalah di bawah RMK-10, tetapi kerajaan melihat pembinaan jalan itu tidak perlu tunggu RMK-10 kerana terdapat keperluan mendesak," katanya.

Selain itu katanya, jalan yang menjadi antara laluan utama kenderaan berat untuk menuju ke Pelabuhan Lumut itu turut merekod 343 kemalangan dengan 17 kematian pada tahun 2008. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain