suria

Hakim Lawat Tempat Kugan Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Sesyen hari ini melawat Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, tempat di mana A. Kugan ditahan sebelum dia meninggal dunia di balai polis itu.

Hakim Aslam Zainuddin, yang mendengar perbicaraan seorang konstabel didakwa menyebabkan kecederaan teruk terhadap Kugan, tiba di bilik di mana Kugan ditemui mati, pagi ini dengan diiringi Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abas dan peguam bela Datuk P.M. Nagarajan serta beberapa anggota polis.

Bilik itu yang kini dibahagi kepada dua bahagian, yang satunya berukuran enam kaki x 12 kaki (1.8 meter x 3.6 meter), terletak di tingkat dua balai itu.

Pada Khamis lalu, Abazafree memohon kepada mahkamah agar dapat melihat sendiri keadaan di mana mangsa ditemui.

Mangsa, Kugan, 23, mati dalam tahanan polis beberapa hari selepas ditahan pada 15 Jan tahun lepas kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta.

Tertuduh dalam perbicaraan kes itu, Konstabel V. Navindran, 28, mengaku tidak bersalah pada 1 Oktober lalu terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan.

Navindran, yang diwakili peguam bela Datuk P.M. Nagarajan, didakwa melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, pada pukul 7 pagi, 16 Januari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Navindran didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan, Navindran turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Kugan pada pukul 7 pagi dan 4 petang di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada pukul 2.30 petang ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain