suria

Empat NGO, Bekas Ahli PKR Bantah Campur Tangan Asing Dalam Kes Liwat Anwar

KUALA TERENGGANU: Isu campur tangan 50 Anggota Parlimen Australia dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat bantahan apabila empat Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan seorang bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu hari ini tampil mengemukakan bantahan.

Empat NGO itu ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Dewan Perniagaan Terengganu Bestari, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) dan Persatuan Silat Gerak Sejati Terengganu serta bekas ketua AMK Terengganu Fakhrul Azman Abu Bakar.

Fakhrul Azman berkata, tindakan Anggota Parlimen Australia serta desakan parti pembangkang mahukan pertuduhan terhadap Penasihat PKR itu digugurkan, secara jelas menunjukkan rasa tidak hormat kepada perlembagaan dan undang-undang Malaysia.

"Kenyataan yang dibuat oleh parti pembangkang itu secara jelas menunjukkan bahawa mereka cuba mengheret kerajaaan yang kononnya telah merancang satu konspirasi untuk membunuh karier politik Anwar.

"Kita tahu campur tangan asing ini amat berbahaya kepada negara kita. Kalau dilihat daripada sudut sejarah tanah Melayu, ia mendatangkan keburukan kepada negara kita. Kami ingin melihat proses terhadap kes ini berjalan dengan lancar, adil dan saksama serta memberikan keadilan sepenuhnya kepada yang mendakwa dan yang didakwa," katanya pada satu sidang akhbar membantah campur tangan 50 Anggota Parlimen Australia dalam kes liwat Anggota Parlimen Permatang Pauh itu, di sini.

Selain itu, Fakhrul Azman yang juga bekas Exco AMK Pusat meminta polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya memantau dan memperhalusi setiap siri ceramah anjuran PKR yang berkemungkinan akan menjejaskan kestabilan negara serta mencemarkan sistem perundangan.

"Jika dibiarkan, ia berkemungkinan akan mengganggu-gugat dan menjejaskan kestabilan negara. Kita serah kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan dan kalau ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) adalah cara terbaik, gunakanlah.

"Biarlah kes ini berjalan dengan lancar. Pembangkang kena hormat kepada sistem perundangan negara dan harus yakin kepada undang-undang yang dibuat," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain