suria

BTN Bakal Adakan 500 Seminar 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Biro Tatanegara (BTN) akan mengadakan 500 seminar 1Malaysia untuk agensi kerajaan, kumpulan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, seminar itu bertujuan memberi penjelasan kepada masyarakat berikutan kajian BT Nmendapati masyarakat Malaysia masih kurang jelas tentang penerapan nilai-nilai aspirasi yang perlu ada dalam menjayakan gagasan itu.

"Lain orang, lain pemahaman tentang konsep 1Malaysia ini, majoriti memahami 1Malaysia ialah rakyat pelbagai kaum yang hidup dalam harmoni.

"Tetapi dalam gagasan 1Malaysia ini ada lapan nilai aspirasi yang perlu ditekankan, bab itu yang kurang difahami di sini," katanya pada sidang akhbar selepas memberi ceramah 1Malaysia peringkat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kompleks Kerajaan Jalan Duta di sini hari ini. Ahmad Maslan berkata, kajian BTN juga mendapati lebih 90 peratus persepsi rakyat bersetuju bahawa gagasan 1Malaysia mampu mengukuhkan perpaduan dan mampu memacu negara ke arah Wawasan 2020.

"Kajian itu dilakukan Januari lepas di Hulu Selangor ke atas 2,274 orang terdiri daripada 87 peratus orang Melayu, dua peratus bumiputera, satu peratus kaum Cina dan kaum India dan lain-lain kaum masing-masing lima peratus," katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, sebanyak 34 siri seminar telah dilaksanakan di seluruh negara dengan penyertaan seramai 5,975 orang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain