suria

Tun Abdullah Kesal Campur Tangan Asing Kes Liwat Anwar

GERIK: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata negara asing tidak perlu campur tangan dalam urusan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini kerana negara ini mempunyai undang-undang dan undang-undang itu dijunjung serta tidak perlu sama sekali campur tangan dari luar," katanya ketika diminta mengulas bantahan sekumpulan anggota Parlimen Australia berhubung kes liwat Anwar.

Beliau berkata Malaysia sebuah negara yang dikenali sebagai negara Islam yang mempunyai undang-undang yang jelas dan sebarang tindakan yang dibuat tidak membelakangi undang undang.

"Ini perkara berlaku dalam negara kita. Kenapa ada campur tangan dari luar, negara ini ada undang-undang," katanya selepas menanam pokok spesies paya bakau di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding dekat sini.

Turut hadir isteri beliau yang juga Presiden Landskap Malaysia Tun Jeanne Abdullah dan Pengerusi Yayasan Emkay Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Abdullah berada di sini sejak dua hari lepas untuk menyertai program kempen kesedaran menghargai alam dan pokok yang banyak menyumbang kepada kehidupan manusia.

Bekas Perdana Menteri turut melawat perkampungan Orang Asli di hutan simpan Taman Negeri Royal Belum.

Baru-baru ini, seramai 50 anggota Parlimen Australia meminta supaya kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Anwar atas alasan ia mencemarkan imej negara.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata usaha memupuk kesedaran pemuliharaan pokok dan hutan yang mengandungi pelbagai khazanah alam perlu ditingkatkan oleh semua pihak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain