suria

Penerangan UMNO Terap Konsep '4M' Dalam SPSB

PETALING JAYA: Biro Penerangan Umno akan menggunakan kaedah "4M' iaitu Media Bersemuka, Media Cetak, Media Elektronik dan Media Maya dalam memberi penerangan kepada rakyat mengenai pelbagai projek pembangunan yang dijalankan di setiap daerah menerusi program Satu Penerangan Satu Bahagian (SPSB).

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata penggunaan 4M itu dilihat lebih berkesan bagi menghebahkan pelbagai maklumat mengenai projek pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan.

"Program yang kita mulakan sejak Oktober tahun lalu itu bertujuan untuk memperkasakan jentera penerangan parti di 20,000 cawangan dengan menggunakan kaedah seminar dan wacana minda bagi menerangkan mengenai peranan kerajaan pusat dalam membangunkan setiap kawasan.

"Justeru, kita juga menggesa agar kesemua jentera parti untuk turut sama dalam perjuangan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penerangan Umno bahagian Subang, di sini hari ini.

Beliau menggesa setiap bahagian Umno mengambil inisiatif menganjurkan program tersebut sekurang-kurangnya sebulan sekali atau dianjurkan bersama dengan program Juara Rakyat.

"Kalau boleh setiap bulan satu aktiviti kerana ini akan menggerakkan Umno dari peringkat akar umbi dan program mesti berterusan supaya pemimpin sentiasa merakyatkan diri mereka," katanya.

Ahmad berkata laporan mengenai SPSB akan dimajukan kepada Majlis Tertinggi Umno sebagai KPI Biro Penerangan.

SPSB dilancarkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu sebagai usaha transformasi Umno untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti pemerintah Barisan Nasional. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain