suria

Lelaki Main Mercun Di Stadium Perak Diberkas

IPOH: Seorang lelaki diberkas kerana membawa masuk mercun ke Stadium Perak semasa perlawanan Piala FA antara pasukan Perak dengan T.Team di sini malam tadi.

Pegawai Penyalaras Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Abdul Rais Mohd Shaarani berkata pemuda berusia dalam lingkungan 20-an itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kami mengesan tiga pemuda bermain mercun di kawasan tempat duduk pada pukul 8.15 malam sebelum perlawanan bermula dan dapat menahan seorang daripadanya," katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Rais berkata sebanyak 10 biji mercun jenis bola turut dirampas.

Pada 25 Jan lalu, Mahkamah Majistret di Kota Baharu, Kelantan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM2,000 terhadap seorang penganggur kerana memiliki mercun sewaktu menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super membabitkan Kelantan dengan Johor FC di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV.

Majistret Nik Habri Muhamad juga memerintahkan Mohd Zafizie Mohd Zawawi, 29, dipenjara sebulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh bulan dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain