suria

Kursi Kepimpinan Wanita Bakal Ditubuhkan Di IPTA Terpilih

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno akan menubuhkan Kursi Kepimpinan Wanita di salah sebuah universiti tempatan tidak lama lagi bagi mengiktiraf sumbangan kepimpinan wanita di negara ini.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, penubuhan kursi tersebut adalah bertujuan untuk mengembangkan dan mempertingkatkan kebolehan wanita memimpin di pelbagai peringkat bermula dari peringkat tempatan sehingga antarabangsa melalui pendidikan, penyelidikan serta latihan.

"Penubuhan kursi itu adalah di bahagian akademik mana universiti yang dipilih selepas kita menilai kesemua cadangan dari semua pusat pengajian tinggi terbabit.

"Penubuhan itu adalah berbentuk pembiayaan dengan pemberian sejumlah dana kepada institusi tersebut bagi membiayai pelaksanaan program.

"Perkara tersebut akan diputuskan dalam masa setahun dan kosnya adalah RM2 juta," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvensyen Wanita Umno di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya pda majlis itu bersetuju dengan cadangan Wanita Umno untuk menubuhkan kursi berkenaan.

Presiden Umno itu berkata kewujudan Kursi itu nanti akan menjadi sumber kekuatan intelektual, minda, pemikiran dan tuntutan wanita pada masa kini.

Tambah Shahrizat, penyandang Kursi Kepimpinan itu akan dipilih di kalangan tokoh ilmu dan akan bertanggungjawab untuk mengembangkan ilmu tersebut kepada wanita-wanita Malaysia.

"Kita belum putuskan siapa yang bakal ditempatkan untuk kerusi itu, beliau akan mengembangkan ilmu seni kepimpinan merangkumi pemahaman urus tadbir, pengurusan strategik, pengurusan kewangan dan ICT, pembinaan serta pengembangan jaringan.

"Saya percaya, dengan penubuhan kursi itu dapat menonjolkan pergerakan wanita Malaysia yang aktif dan berkredebiliti dalam kepimpinan," kata beliau.

Tambah beliau, penyandang kursi itu juga akan mengatur program-program mencakupi ilmu sistem politik di Malaysia, sistem pilihan raya, kepekaan gender dan pembuatan dasar serta polisi di peringkat prasiswazah dan siswazah.

Melalui program itu juga, penyandang kursi tersebut akan menganjurkan kursus pendek dan program latihan kepimpinan, katanya lagi.

"Bagi memperkukuhkan lagi program itu, sebuah pusat penyelidikan dan latihan kursus akan ditubuhkan di institusi pengajian tinggi tersebut," ujar beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain