suria

K'Jaan Tak Akan Terburu-buru Dalam Bangunkan Kg Baru

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan terburu-buru dalam melaksanakan pelan pembangunan semula Kampung Baru, dan akan memulakannya hanya selepas mendapat persetujuan daripada penduduk dan pemilik tanah kawasan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata penjelasan dan perbincangan mengenai projek itu kepada penduduk akan diteruskan walaupun ia mungkin mengambil masa yang agak lama.

"Proses perbincangan dengan penduduk mungkin mengambil masa tiga, enam bulan atau mungkin setahun, selepas itu barulah boleh teruskan dengan sebarang projek pembangunan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ketiga Pertubuhan Khidmat Masyarakat Cacat Penglihatan Kuala Lumpur dan Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata persetujuan untuk menlaksanakan pelan pembangunan Kampung Baru itu pastinya tidak akan mencapai 100 peratus, kerana ada pemilik tanah yang tidak dapat dikesan.

Sementara itu Raja Nong Chik berkata kerajaan juga mungkin mengkaji satu undang-undang mengikut majoriti, iaitu jika 80 peratus penduduk di sesuatu kawasan bersetuju dengan projek pembangunan, maka 20 peratus lagi terpaksa menurut atau akur dengan keputusan untuk membangunkan kawasan itu.

Beliau berkata baginya apa yang penting ialah rakyat khususnya penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru perlu berpuas hati dengan apa yang kerajaan sedang lakukan, dan kerajaan ingin mewujudkan suasana menang-menang kepada semua dalam perkara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru, yang antara lain akan memastikan penduduk serta pemilik tanah tidak perlu berpindah ke tempat lain.

Sementara itu Raja Nong Chik berkata kerajaan akan terus memberikan bantuan terutamanya dari segi kewangan kepada golongan istimewa dalam negara.

"Untuk bantuan berterusan yang lebih sesuai, saya akan berbincang dengan kementerian yang berkaitan untuk memberi bantuan berterusan kepada Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain