suria

Khaled Nordin Minta Taburan Pembinaan Rumah Kos Rendah Lebih Seimbang

JOHOR BAHARU: Menteri Pengajian Tinggi yang juga ahli parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini menegur pihak berkuasa tempatan yang pada pandangan beliau membina terlalu banyak rumah kos rendah hanya pada satu bahagian negeri itu sahaja.

Katanya, ini telah mewujudkan pembangunan yang tidak seimbang.

Khaled berkata, buat masa ini terlalu banyak rumah kos rendah dibina di wilayah Timur bandar raya ini termasuklah di kawasan parlimen yang beliau wakili.

“Kita tidak boleh mengasing-asingkan kumpulan berpendapatan rendah dan menempatkan mereka dalam satu kawasan sahaja," ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Khaled menyeru Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) membuat pelan perancangan perumahan yang lebih seimbang pada masa hadapan kerana ia akan memberi kesan jangka panjang kepada sesuatu kawasan.

“Apa yang kita lihat berlaku sekarang ialah apabila sesuatu projek perumahan baru diluluskan, MBJB akan mengesyorkan ia dibina di kawasan Pasir Gudang," ujar Khaled.

Beliau menambah, jika trend pembangunan sekarang berterusan, akan berlaku lambakan kawasan perumahan kos rendah di kawasan Pasir Gudang dan ini akan menghambat struktur pembangunan yang seimbang yang diperlukan oleh sesebuah kawasan pembangunan.

Khaled berkata, dalam memberi pandangan berkenaan beliau tidak bermaksud pembangunan rumah kos rendah tidak diperlukan tetapi taburannya perlulah secara menyeluruh di serata kawasan negeri ini dan bukan hanya tertumpu di sesuatu kawasan sahaja.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita ketika ditemui seleas pelancaran Program Agenda 21 di Seri Alam dekat sini hari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain