suria

Ketua Menteri Arah Dua Kementerian Siasat Isu Rakyat sabah Merempat Di KL

PENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman telah mengarahkan dua kementerian negeri untuk membuat siasatan rapi terhadap laporan berita baru-baru ini mengenai rakyat Sabah yang terkandas di Kuala Lumpur dan hidup merempat dan menganggur.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri telah diarahkan menjalankan siasatan.

"Saya juga beri nasihat kepada mereka yang tidak mempunyai kontrak (kerja) yang tetap ataupun 'confirmation' (pengesahan) berkenaan kerja-kerja yang ada di KL, supaya jangan sesuka hati pergi ke KL tanpa punyai ejen yang betul dan ikhlas.

"Ini supaya mereka tidak tertipu ataupun tergendala di KL," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Bahagian Penampang di Bandar Donggongon dekat sini, hari ini.

Musa mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan semalam yang mengesahkan terdapat ramai penduduk Sabah yang merempat dan menganggur di Kuala Lumpur berdasarkan tinjauan di ibu negara itu baru-baru ini.

Wartawan akhbar tersebut telah menemui kira-kira 15 penduduk berasal dari Sabah dan tiga dari Sarawak di salah satu pusat badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan makanan percuma kepada mereka yang tidak berumah di Kuala Lumpur, dan difahamkan jumlah rakyat Sabah yang hidup merempat di Kuala Lumpur mungkin mencecah 400 orang.

Menurut laporan itu, kebanyakan mereka yang datang ke Semenanjung adalah sama ada mengikuti ejen pengambilan pekerja swasta dan akhirnya ditipu ejen atau mereka yang mengambil mereka bekerja, atau mengikuti rakan Sabah mereka tetapi berhenti atau diminta berhenti kerja disebabkan masalah termasuk penglibatan dalam masalah sosial.

"Kalau mereka tidak ada kerja ataupun merempat di Kuala Lumpur, adalah lebih baik mereka balik ke Kota Kinabalu di mana mereka mungkin boleh mendapat pekerjaan ataupun berusaha bagaimana mereka boleh mencari pendapatan," kata Musa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain