suria

Rais Puji Kesudian Rakyat Hadir Ke Rumah Terbuka

KLANG: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memuji masyarakat Tionghua di Pandamaran kerana sudi menghadiri sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Jalan Chan Ah Choon malam ini walaupun ada hasutan daripada sesetengah pihak supaya mereka tidak menghadiri majlis itu.

Beliau berkata masyarakat Tionghua di sini tidak menghiraukan segala hasutan itu dan sanggup bersama-sama untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional lain bagi meraikan sambutan itu.

"Sebelum ini, ada pihak katakan, malam ini orang tak datang sebab ada perjumpaan lain (yang diadakan serentak) dengan majlis ini. Terbukti orang Pandamaran mengatakan benda itu tidak betul," katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina itu.

Sebagai bukti, Rais berkata penduduk sanggup meredah hujan lebat kira-kira 30 minit ketika majlis itu berlangsung dan terpaksa berdiri untuk mendengar ucapan Perdana Menteri.

"Maaf kerana anda terpaksa berdiri ketika mendengar ucapan Perdana Menteri.

Mengikut perancangan awal, Perdana Menteri akan duduk bersama rakyat di sebelah kanan dan persembahan diadakan di atas pentas. "Tetapi kerana hujan datang, kita tidak dapat laksanakan program seperti itu," katanya.

Rais berkata rakyat pelbagai kaum termasuk di Sabah dan Sarawak mesti mempunyai semangat dan perjuangan baru di bawah gagasan 1Malaysia dan bersama-sama "bergaul" seperti Yee Sang.

Sementara itu Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata majlis sambutan Tahun Baru Cina malam ini yang jatuh pada hari ketujuh perayaan itu adalah "hari jadi" untuk semua penduduk di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain