suria

Polis Tetap Anggap Kes Rompakan Di Pulau Sebangkat Terpencil

TAWAU: Polis masih menyiasat kes kehilangan dua pekerja sebuah syarikat rumpai laut di Pulau Sebangkat, Semporna awal bulan ini dan tetap mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes terpencil dan merupakan perbuatan orang dalam.

Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM), Datuk Isa Munir yang melawat pelantar pengeringan rumpai laut di sekitar pulau itu hari ini di mana kejadian rompakan itu berlaku, berkata siasatan polis termasuk di lokasi masih menjurus ke arah pendapat berkenaan.

"Berdasarkan kepada keadaan perairan batu karang yang cetek di samping barisan tali tempat menggantung bibit rumpai laut yang bersimpang siur di kawasan berkenaan, cuma orang yang biasa dengan tempat berkenaan sahaja yang boleh masuk dan keluar dari tempat itu dengan mudah.

"Bagi saya kes ini ialah kes terasing, terancang dan melibatkan orang dalam. Setakat ini berdasarkan hasil maklumat dan siasatan, kita masih menolak andaian penglibatan orang luar, kecuali jika kita mendapat maklumat baru," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa kawasan di sempadan perairan negara termasuk kawasan Pulau Sebatik dan Kalabakan di sini.

Isa berkata keadaan keselamatan di Semporna tetap terjamin dan menolak andaian bahawa kes rompakan tersebut mempunyai kaitan dengan amaran perjalanan yang dikeluarkan oleh kedutaan Amerika Syarikat di negara ini.

Dua pekerja syarikat rumpai laut berkenaan yang berumur 25 dan 40 tahun dilaporkan hilang selepas kejadian kira-kira 1.30 pagi pada 8 Feb lalu.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain