suria

Perubahan Kepada Sistem Latihan Kemahiran

MELAKA: Kementerian Sumber Manusia akan membuat perubahan kepada sistem latihan kemahiran yang ditawarkan oleh institusi latihannya bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi kehendak model ekonomi baru.

Menterinya, Datuk Dr S. Subramaniam berkata tenaga kerja yang bakal disediakan itu akan memiliki kemahiran baru dengan tahap pencapaian yang tinggi.

"Tahap kemahiran tenaga kerja kita mesti dinaik taraf setaraf dengan keperluan model ekonomi baru," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan guru-guru bahasa Tamil negeri ini di sini pada Sabtu.

Dr Subramaniam berkata beliau dimaklumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang membuat perubahan terhadap sistem pendidikan supaya graduan yang dilahirkan dapat memenuhi keperluan industri baru.

Beliau juga berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi meningkatkan bilangan pelajar lelaki memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya sekarang ini, pelajar wanita lebih ramai memasuki IPT iaitu hampir 70 peratus berbanding pelajar lelaki dan ini akan memberi kesan kepada keseimbangan tenaga kerja di negara ini.

"Ketidakseimbangan ini boleh diselaraskan dengan tidak membuat apa-apa yang akan menjadi diskriminasi kepada pelajar perempuan," katanya.

Dr Subramaniam yang juga Setiausaha Agung MIC berkata beberapa langkah sedang diambil bagi meningkatkan pencapaian pendidikan pelajar India di seluruh negara.

"Antaranya ialah dengan memastikan kanak-kanak India yang berusia antara empat dan enam tahun dapat mengikuti kelas prasekolah, memastikan murid yang memasuki tahun empat sudah boleh membaca, menulis dan mengira, mengurangkan jumlah murid yang gagal dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memperbaiki pencapaian pelajar dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain