suria

Pendekatan Lebih Mesra Rakyat Dalam Rumah Terbuka Kali Ini - Rais

KLANG: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pendekatan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan di Pandamaran di sini Sabtu malam akan dilaksanakan dalam keadaan yang lebih mesra rakyat tanpa protokol yang begitu ketat.

Majlis itu akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, menteri-menteri kabinet serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional.

Pada Sabtu malam, Perdana Menteri dan rombongan dijangka melawat beberapa rumah penduduk di sana untuk meningkatkan kemesraan di antara pemimpin dan rakyat, katanya dalam sidang media selepas menyaksikan raptai sambutan acara itu di Jalan Chan Ah Choo di sini.

Pelaksanaan program itu nanti akan memberi penegasan kepada percampuran pemimpin-pemimpin dengan masyarakat setempat di mana Perdana Menteri dan rombongan juga dijadualkan bersama-sama masyarakat minum teh dan menikmati uadah di kedai kopi berhampiran, kata beliau.

Dr Rais berkata: "Ini adalah kali pertama kita mengadakan majlis ini yang kurang formal dan kita merasakan ia akan menarik perhatian masyarakat di Pandamarandan. Ia akan memberi gambaran 1Malaysia yang lebih berkesan untuk fahaman dan amalan kita semua."

Beliau berkata Najib juga dijangka menyampaikan bantuan kebajikan kepada golongan warga emas dan kanak-kanak di situ selain daripada menziarahi pemimpin-pemimpin sebuah tokong di sana.

"Ini adalah kali pertama kita mengadakan program seperti ini dan jika mendapat sambutan kita akan mencorakkan hari-hari rumah terbuka Malaysia seperti yang diadakan di Pandamaran," kata beliau lagi.

Acara lain yang bakal diadakan ialah Perdana Menteri akan menggaul Yee Sang bersama pemimpin-pemimpin dan masyarakat tempatan, satu acara utama bagi masyarakat Cina dalam menyambut kedatangan tahun baru mereka.

Najib dan rombongan akan disambut dan dihiburkan dengan paluan gendang, tarian singa dan naga serta tarian berkonsep muhibah dari penari-penari Istana Budaya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain