suria

Nik Abdul Aziz Akui Tahap Kebersihan Di Bandar-Bandar Belum Memuaskan

PASIR PUTEH: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui tahap kebersihan di bandar-bandar di Kelantan termasuk Kota Baharu masih belum memuaskan tetapi sudah banyak berubah ke arah semakin baik.

Beliau berkata perubahan itu disebabkan pemikiran setiap rakyat Kelantan mengenai pentingnya menjaga kebersihan sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam dan kerajaan negeri sudah menampakkan hasil.

"Nak ubah pemikiran seseorang tidak mudah, ia perlu mengambil masa secara beransur-ansur," katanya kepada pemberita selepas melancarkan derma untuk menyiapkan Markaz A-Aitam di Kampung Sungai Kelong di sini, pada Sabtu.

Nik Aziz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang kecewa dengan kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu dalam menyelenggarakan kemudahan asas membabitkan aspek kebersihan dan tandas yang dibina di beberapa destinasi pelancongan.

Dr Ng berkata beliau sudah 10 kali meninjau sendiri pembangunan produk pelancongan di negeri itu sepanjang tahun lalu, kecewa dengan aspek penyelenggaraan oleh PBT memandangkan kerajaan pusat menyalurkan RM32 juta sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) membabitkan 14 projek untuk tujuan itu.

Nik Abdul Aziz menasihatkan rakyat Kelantan agar menjaga kebersihan sesuai dengan tuntutan agama.

"Pelancong datang ke Kelantan mereka ingin lihat aspek kebersihan sesuai dengan gelaran Kelantan sebagai Serambi Mekah...kalau kotor ia bukan asas Islam," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain