suria

Muhyiddin Hormati Pendirian Presiden Pas

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghormati pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menentang campur tangan asing dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya Abdul Hadi telah mengambil satu pendirian yang betul kerana isu yang dibangkitkan itu melibatkan kepentingan dan maruah negara.

"Sepatutnya tidak kira siapa pun, sama ada pemimpin daripada parti kerajaan atau pun pembangkang, bila ada soal yang berkaitan dengan kepentingan nasional, sepatutnya dia (pemimpin) ambil satu pendirian yang sama," katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah SAM-100Plus anjuran Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini hari ini.

Beliau berkata dalam soal hendak menjaga dan memelihara maruah negara, pendirian yang disuarakan oleh Abdul Hadi itu perlu dicontohi oleh pemimpin pembangkang yang lain.

Katanya sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia mengamalkan sistem perundangan, mengamalkan sistem demokrasi dan sistem kehakiman yang menjadi tunggak kepada amalan sistem demokrasi di negara ini.

"Jadi, seharusnya pemimpin yang memahami soal perlembagaan dan asas-asas negara, mereka harus mengikuti prinsip yang sama. Kalau semua pemimpin bersikap sedemikian, jadi lagi amanlah negara kita," katanya.

Semalam, Abdul Hadi menyatakan pendirian PAS yang menentang keras sebarang campur tangan asing termasuk tindakan sekumpulan anggota Parlimen Australia dalam pertuduhan kes liwat Anwar.

Abdul Hadi berkata sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak rela menjadi mangsa campur tangan pihak asing dan atas alasan itu, PAS akan sama-sama mempertahankan kedaulatan negara.

Baru-baru ini, seramai 50 anggota Parlimen Australia meminta supaya kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Anwar atas alasan ia mencemarkan imej negara.

Sementara itu, di Batu Pahat, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kenyataan Abdul Hadi itu merupakan satu tamparan kepada Anwar dan PKR yang cuba melibatkan pihak asing dalam isu perundangan dan hal ehwal dalaman Malaysia. "Kenyataan Abdul Hadi itu menunjukkan bahawa beliau faham betapa bahayanya apabila negara dan pihak asing mencampuri urusan dalaman negara. Tindakan Presiden PAS itu telah memberikan tekanan kepada Anwar kerana PAS secara jelas enggan mempertahankan beliau," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Skim Khairat Kematian Percuma Parlimen Batu Pahat di Sekolah Kebangsaan Parit Bilal hari ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain