suria

Malaysia Tidak Musnahkan Hutan Untuk Tanam Kelapa Sawit, Kata Tawfiq

TAWAU: Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa Malaysia tidak sewenang-wenangnya memusnahkan hutannya untuk penanaman kelapa sawit.

Menurutnya, Malaysia mempunyai dasar dan undang-undang perhutanan yang tegas serta jelas berkaitan hutan simpan yang tidak boleh disentuh sama sekali.

"Kerajaan kita telah mengenal pasti kawasan pertanian dan perladangan. Kerajaan telahpun menggazetkan kawasan berkenaan," katanya ketika mengulas mengenai kempen syarikat Marks & Spencer yang menentang penggunaan minyak kelapa sawit seperti yang disiarkan akhbar tempatan di sini, pada Sabtu.

Menurut laporan akhbar berkenaan, syarikat British itu baru-baru ini telah meletakkan bahan pameran di sebuah pusat membeli belah di United Kingdom yang tertulis: "We Think That Destroying Rainforests For Palm Oil Is Too High A Price To Pay A Biscuit".

Sehubungan itu, Tawfiq meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensi kerajaan berkaitan supaya memberi penjelasan kepada dunia mengenai situasi sebenar hutan di negara ini.

Menurutnya kerajaan Malaysia telus dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga hutan simpannya dan dalam kes Sabah, jabatan perhutanannya telah membina beberapa pondok di hutan belantara semata-mata untuk menjaga hutan simpan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan wujud segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh hutan simpan untuk membuka kebun kelapa sawit, namun kes-kes seumpama itu adalah kes terpencil.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain