suria

Kerajaan Pusat Diminta Maik Taraf Kg Baru Pandamaran

KLANG: Penduduk Kampung Baru Pandamaran berharap kerajaan pusat dapat menaik taraf infrastruktur untuk kemudahan kira-kira 40,000 penduduk di perkampungan Cina kedua terbesar di Malaysia itu setelah mendakwa tidak mendapat perhatian daripada kerajaan negeri Selangor.

Antara infrastruktur yang amat perlu dinaik taraf ialah laluan jalan raya ke kampung itu, sistem perparitan dan kemudahan pendidikan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK (C)) Pandamaran A dan B di kampung itu.

Justeru, ketua kampung itu Francis Hua Lai Hock berkata beliau akan mengemukakan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menghadiri sambutan Tahun Baru Cina Kebangsaan di kampung itu malam ini.

"Kampung Baru Pandamaran boleh dikatakan kampung kedua terbesar dalam Malaysia daripada 450 kampung Cina. Kita berharap kampung Pandamaran ini boleh dimajukan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata SRJK (C) Pandamaran A dan B mempunyai kira-kira 2,000 murid dan ia kekurangan bilik darjah untuk menampung bilangan murid yang semakin meningkat setiap tahun.

Selain itu, katanya laluan jalan raya di kampung itu yang sempit dan berlubang juga perlu dibaiki segera.

Hua juga berkata isu kewarganegaraan juga masih wujud di kampung itu di mana terdapat beberapa penduduk warga emas yang masih gagal mendapatkan kewarganegaraan tetap di Malaysia walaupun telah 40 tahun menetap di negara ini. "Warga emas berkenaan memiliki kad pengenalan merah dan mereka berharap kerajaan dapat membantu mereka mendapatkan MyKad," katanya yang juga Naib Pengerusi MCA Bahagian Klang.

Beliau yang mendiami kawasan itu sejak dilahirkan 55 tahun lepas berkata Kampung Baru Pandamaran mempunyai majoriti penduduk Cina iaitu sebanyak 85 peratus diikuti Melayu 9 peratus serta India dan lain-lain kaum sebanyak 6 peratus.

Kampung Baru Pandamaran dibina pada 1950 selepas pengisytiharan darurat apabila masyarakat Cina dari Kuala Langat dan Kuala Selangor ditempatkan di kampung itu.

Sementara itu, dalam tinjauan Bernama di kampung itu, beberapa penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwa tidak memberi perhatian kepada kampung itu.

"PR (Pakatan Rakyat) tidak bagus, dulu semasa Pandamaran di bawah B N(Barisan Nasional) dan jika kami menghadapi sebarang masalah dan membangkitkannya, ia akan segera diselesaikan, tetapi kini mengambil masa yang lama untuk diselesaikan," kata Ong Jian Hau, 20, cucu kepada pemilik restoran Makanan Laut Choon Keng yang akan menerima kunjungan perdana menteri ke rumah dan restorannya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Kebangsaan itu.

Tan Chou Teng, 28, yang bekerja di salon kecantikan pula berharap Najib dapat membantu mengatasi masalah perparitan di kawasan itu.

"Kami harap longkang di depan rumah dapat dibesarkan kerana ia mudah tersumbat dan air melimpah keluar menyebabkan banjir ketika hujan lebat," katanya.

Bagi Tan Chi, 60, beliau berasa amat gembira apabila diberitahu rumahnya antara yang disenarai akan dikunjungi Perdana Menteri pada majlis itu.

"Saya sentiasa menghias rumah untuk memastikannya cantik apabila saya diberitahu (pada minggu lepas) PM (perdana menteri) akan datang," katanya.

Sementara itu, Tan Hock Bin, 61, pula mahu meminta bantuan Najib untuk membolehkan anak angkatnya Tan Kian Teck, 29, yang kini memegang kad pengenalan merah, mendapatkan MyKad.

Kian Teck yang kini bekerja sebagai tukang masak berkata dia diberi kad pengenalan merah setelah asal usulnya tidak dapat dikenal pasti ketika diambil sebagai anak angkat semasa bayi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain