suria

Jangan Bandingkan Putrajaya Dengan KL - Raja Nong Chik

PUTRAJAYA: Putrajaya tidak seharusnya dibandingkan dengan Kuala Lumpur (KL) dari segi kerancakan atau dari segi tarikan hiburan malamnya, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk melakukan perbandingan demikian memandangkan Kuala Lumpur merupakan pusat ekonomi dan perdagangan yang wujud sejak kurun ke-19 manakala Putrajaya pula adalah pusat pentadbiran negara.

"Contoh yang paling dekat adalah antara Washington DC dan New Yory City, di mana Washington DC adalah seperti Putrajaya yakni 'pusat kuasa' manakala New York City ialah 'bandar raya yang tidak pernah tidur'.

"Kedua-dua bandar raya ini seperti juga KL dan Putrajaya saling melengkapi antara satu sama lain," katanya semasa merasmikan karnival "Wow! Putrajaya" pada Sabtu.

Karnival dua hari anjuran Perbadanan Putrajaya itu diadakan sebagai salah satu usaha untuk menceriakan Putrajaya, selain mempromosi aktiviti Putrajaya sepanjang tahun dan memaklumkan kepada orang ramai mengenai usaha dan perancangan pembangunan Putrajaya melalui pelbagai aktiviti yang disediakan untuk semua peringkat umur.

Raja Nong Chik berkata Putrajaya bagaimanapun tidaklah lesu dan sepi seperti yang didakwa sesetengah pihak di mana ia turut menjadi tuan rumah kepada 187 acara peringkat tempatan dan antarabangsa tahun lalu.

Beliau berkata antaranya termasuklah pameran bunga-bungaan Floria yang berjaya menarik kira-kira 500,000 pelawat tempatan dan antarabangsa, Pertandingan Bunga Api Antarabangsa, Festival Belon Panas dan Marathon Malam yang mendapat sambutan 8,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata Perbadanan Putrajaya juga merancang untuk menambah bilangan dan kepelbagaian acara sepanjang tahun ini, dengan tumpuan akan diberi kepada aktiviti kesenian dan kebudayaan serta sukan dan rekreasi yang berupaya menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong bagi menambah keceriaan bandar raya itu.

"Antara yang dikenal pasti termasuk Cyclefest, Le Tour de Langkawi, Sailing Regatta, Karnival Pelancongan, Festival Perahu Naga, Fiesta Makanan dan Festival Kesenian Islam," katanya.

Selain itu Raja Nong Chik berkata, Perbadanan Putrajaya juga telah meluluskan permohonan untuk membangunkan beberapa lot komersial dan kompleks pejabat swasta di Presint 2, 3 dan 4, serta pembinaan hotel tiga bintang dan pasar raya besar bagi menggalakkan aktiviti ekonomi yang lebih aktif.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain