suria

Sikap Pengguna Jalan Raya Mengecewakan: Solah

PUTRAJAYA: Sebanyak 93 gambar kesalahan lalulintas berjaya dirakam sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan semasa beliau dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur pada Rabu lalu ketika Ops Sikap sedang berkuatkuasa.

Menurutnya, tindakan pengguna jalan raya ini amat mengecewakan kerana walaupun ketika itu operasi sedang berjalan, namun mereka seolah-olah tidak mengendahkan undang-undang dan keselamatan di jalan raya.

"Ramai pemandu bertindak memotong garisan berkembar dan menggunakan laluan kecemasan. Bukan itu sahaja, ada juga yang bertindak memotong kenderaan lain melalui bahu jalan.

"Tindakan ini bukan sahaja membahayakan pemandu dan penumpang malah ia turut membabitkan pengguna jalan raya yang lain. Saya tidak dapat bayangkan jika ada orang di bahu jalan ketika itu," katanya pada pemberita semalam.

Katanya, dia turut mengarahkan anggotanya menahan kenderaan terbabit dan mengenakan tindakan saman ke atas mereka kerana cara pemanduan mereka terlalu bahaya.

Menurutnya, antara 8 Februari hingga Rabu, sebanyak 2,968 gambar kesalahan pengguna jalan raya berjaya dirakam termasuk gagal berhenti di lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memotong melalui laluan kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan gagal mengikat tali topi keledar. "Gambar-gambar ini dirakam oleh pegawai kami yang menyamar, orang awam dan juga saya sendiri.

"Kami ada bukti kesalahan yang mereka lakukan dan tiada alasan untuk mereka menafikannya. Mereka akan dikenakan tindakan denda maksimum sebanyak RM300," katanya.

Bagaimanapun katanya, hanya tiga kenderaan berat yang menggunakan jalan raya pada 12 dan 13 Februari. Daripada 5,000 bas yang diperiksa, hanya 11 daripadanya gagal ujian sistem brek dan tayar manakala dua pemandu didapati positif dadah.

"Musim cuti perayaan hampir sampai ke penghujung, saya mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan bersabar ketika memandu.

"Saya juga menyarankan agar pengguna jalanraya memainkan peranan mereka membantu kami dengan merakam gambar kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas bagi memudahkan pihak kami mengambil tindakan," katanya.

Katanya, pihak JPJ memerlukan bantuan awam bagi memastikan mereka yang melakukan kesalahan lalulintas tidak terlepas daripada tindakan,' katanya sambil menambah gambar tersebut boleh dihantar melalui emel ke [email protected].

Artikel Lain