suria

Penduduk Pulau Pinang Paling Banyak Guna Air

PULAU PINANG: Kerajaan negeri menasihati penduduk Pulau Pinang berjimat cermat dalam penggunaan air kerana negeri itu mencatatkan penggunaan air paling tinggi berbanding negeri lain dengan purata 285 liter sehari bagi setiap penduduk pada tahun 2008.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, walaupun Pulau Pinang tidak mengalami masalah kekurangan air semasa cuaca panas sekarang, orang harus menggunakan air pada kadar yang diperlukan sahaja kerana penggunaannya meningkat setiap tahun.

"Ini masalah besar bagi Pulau Pinang, kita ada masalah pembaziran air yang sangat teruk," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan beberapa pemimpin Dewan Pemuda PAS di sini semalam.

Bagi tahun 2008, Johor merekodkan penggunaan air dengan purata sebanyak 207 liter sehari bagi setiap penduduk, Selangor (234 liter), Kedah (236 liter), Negeri Sembilan (239 liter) dan Melaka (268 liter).

Piawaian penggunaan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu ialah 165 liter sehari bagi setiap pengguna.

Lim berkata, penggunaan air yang banyak oleh penduduk Pulau Pinang berkemungkinan disebabkan negeri itu mengenakan tarif air paling rendah berbanding negeri lain iaitu pada kadar 31 sen bagi satu meter padu.

Mengenai paras air di tiga empangan di Pulau Pinang pada masa ini, beliau berkata, air di Empangan Air Itam berada pada kapasiti 84 peratus dan mampu membekalkan air selama 100 hari, kapasiti Empangan Mengkuang ialah 95 peratus dan boleh menampung keperluan selama 166 hari manakala Empangan Teluk Bahang dengan kapasiti 86 peratus mampu membekalkan air selama 276 hari kepada penduduk negeri itu.

"Penduduk Pulau Pinang tidak perlu bimbang kerana bekalan air di negeri ini masih mencukupi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain