suria

Pemuda PAS Perak Sokong Pembinaan Kolej Tahfiz

IPOH: Dewan Pemuda Pas Perak menyambut baik cadangan kerajaan negeri membina Kolej Tahfiz Al-Quran dan berharap ia dipercepatkan bagi membuka peluang kepada pelajar lepasan Maahad Tahfiz menyambung pelajaran ke peringkat diploma.

Naib ketuanya Salman Salleh berkata usaha kerajaan negeri itu adalah satu langkah yang sangat dialu-alukan bagi pembangunan Islam.

"Pemuda PAS Perak yakin usaha kerajaan negeri tersebut akan memastikan satu sistem pendidikan Islam yang menyeluruh bagi Maahad Tahfiz untuk beroperasi di setiap daerah...usaha ini adalah langkah yang terbaik bagi menyampaikan agenda pembangunan Islam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selasa lepas, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan cadangan kerajaan negeri untuk membina kolej itu bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan Maahad Tahfiz menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, kerajaan negeri akan memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah sebelum menghantar kertas cadangan kepada kerajaan pusat melalui Kementerian Pengajian Tinggi bagi merealisasikan pembinaan kolej berkenaan.

Dr Zambry berkata cadangan pembinaan Kolej Tahfiz itu adalah satu agenda yang dibincangkan oleh kerajaan negeri supaya terdapat satu sistem pendidikan Islam yang menyeluruh di Perak. - BERNAMA

Artikel Lain